Soalan 1 hingga 7 - Penggunaan pelbagai jenis kata, imbuhan dan kata ganda dalam ayat.

Cikgu Bahasa
0

Kurikulum Bahasa Melayu sekolah menengah bertujuan untuk memenuhi hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, emosi, rohani, dan jasmani (Sukatan Pelajaran Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah 2001). Kurikulum Bahasa Melayu menyediakan pelajar untuk menguasai kecekapan berbahasa dan berkomunikasi dengan menggunakan peraturan tatabahasa secara betul dan tepat. Pelajar mampu mengungkapkan bidang ilmu daripada pelbagai disiplin atau mata pelajaran di samping mengembangkan kemahiran berfikir.

Dalam sistem pendidikan negara kita yang bertumpukan kepada peperiksaan awam dan ujian-ujian di sekolah, tumpuan utama adalah kepada kemahiran 3M (membaca, menulis dan mengira). Asas penilaian adalah kepada kertas-kertas penilaian berupa item-item yang perlu dijawab oleh pelajar. Item-item dalam sesuatu instrumen ialah satu inti pati penting bagi menjalankan sesuatu pengujian dan pengukuran. Sekolah yang menghasilkan peratus kelulusan yang tinggi akan terus dicanangkan sebagai sekolah yang berkualiti. Kecemerlangan seseorang guru pula dikaitkan dengan bilangan muridnya yang mendapat gred A. Oleh itu, kualiti setiap soalan atau item wajar dinilai semula selepas sesuatu ujian itu diadakan (Mohamad Sahar 2008).

Agihan yang dipersetujui oleh penggubal-penggubal soalan dan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), untuk membentuk soalan ujian yang bermutu memerlukan agihan mengikut perkadaran 5 (mudah), 3 (sederhana) dan 2 (sukar). Berdasarkan perkadaran ini, agihan yang sepatutnya untuk sejumlah 40 item ujian ialah 20 item untuk soalan berbentuk mudah, 12 item untuk soalan jenis sederhana dan 8 item untuk jenis soalan jenis sukar.

KERTAS 1 Soalan 1 – 7

Merupakan soalan –  Penggunaan pelbagai jenis kata, imbuhan dan kata ganda dalam ayat.

1.    Soalan jenis ini, sebenarnya merupakan bentuk soalan yang memang dikemukakan dalam Kertas 1 Bahasa Melayu PMR, pada setiap tahun.

2.    Justeru, para pelajar boleh merujuk kertas soalan pada tahun-tahun yang lepas untuk membiasakan diri pelajar dengan bentuk soalan tersebut.

3.    Para pelajar perlu mempunyai pengetahuan tatabahasa dan penguasaan kosa kata yang mantap. Bagi tujuan ini adalah mustahil untuk pelajar menghafal kesemua kosa kata yang terdapat dalam kamus.

4.    Kaedah yang lebih efektif adalah dengan banyak membuat latihan dan merujuk kamus. Logiknya, semakin banyak anda membuat latihan, maka semakin banyak kosa kata yang anda kuasai.

Contoh
      
Jalan yang                   kampung itu berlumpur kerana belum berturap.
A   merentangi    
B   merentasi  
C   melintasi
D   melalui

Post a Comment

0Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.
Post a Comment (0)
To Top